assalamualaikum
dan salam sayang kepada pembaca2 blog..:)
ari ni
cik anna nk share satu kisah benar..actually ni last year punye kisah terjumpa
kat MR.Google, tp xpe la kan..sharing
is caring right? jatuh jgk la air mata cik anna kau ni baca kisah ni..mne x
nye..sedih kot. haa.,, now turn korang plk...sila2.....jap2, memang la kisah ni
panjang skit, tapi baca la sampai abis ye..
Hargai
dan sayangi orang-orang disekeliling kita sementara mereka masih
bernyawa.
Kisah Benar......Sebak
hati membacanya...
..............................................................................
Mak
pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut
membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil
pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terakhir yang
abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk
melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak
akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar
pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah
disediakan. Lalu abah dan mak mandikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak
tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskan air buat kali
terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak
nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir
di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.
"Bang,
jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah
kata mak pada abah.
Setelah
abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua
juga. Biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada
tubuh abang.
"Kakak,
jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan
mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula
selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.
Mak
nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu
juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak
bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya,
wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul
jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.
Abah
masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua
kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.
Bertubi-tubi
mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu
soalan yang mereka tanyakan pada mak.
Soalan
itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan
jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa
kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka
hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan
senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang
pernah berada dalam rahim mak dulu?
Petang
itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak
jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang
tamu.
Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat
peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.
Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam
diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di
dalamnya.
Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali
mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas
terakhir.
Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang
tiga bulan sebelum abang pergi. Mak
rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.
Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak
menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa
mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati
membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak
boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan
ada lagi pembedahan untuk abang.
26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua
hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori
sampah!
Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori
sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori
sampah,
Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak
jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.
Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan
abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai
pengganti.
Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar
bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang
datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari
jadi abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang
semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik
sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang.
Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang
tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.
Abang hanya menanti waktu. Mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah
berkata, masa abang tidak lama lagi.
Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam
mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"
Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahu
mereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.
Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian
apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. Jadi biarlah jawapan yang mak beri
itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.
13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk
bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu
terakhir bersama keluarga. Dan di
saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang.
Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa
harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab:
"Mak, abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang
ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab:
"Balai bomba!"
Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata,
abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu
kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.
Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik
baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu:
"Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan
saya tunaikan impian terakhirnya ini!"
Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi
kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci,
dibuka pintu salah satu trak bomba itu.
Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian
pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak
itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka
lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"
Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"
Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah
lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"
Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian,
mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.
Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk
pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang
lama-lama. Sedih agaknya.
Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya
pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun
abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti
dukung abang.
Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang
kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada
permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak pergi,semuanya mak tunaikan!
Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Martabak, nasi
paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi,
semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!
Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari
walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami
tunaikan.
Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah
semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun
terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaring sambil
memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke
hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin
akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"
Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak
mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus
ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang
sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak
pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di
sampingnya pada saat terakhir!"
Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang
pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang
melawat.
Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan
mak ceritakan yang mak terkilan tak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek
berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian
Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini.
Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga
rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum
ini.
Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura tulis
di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang
pinta.
Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor
menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria,
wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu
datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar
lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu.
Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah
abang, bacaanya meningkat naik. Tapi
hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam
itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.
Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat.
Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis
teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu
abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak
pergi.
"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang
pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun
seketika!"
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak
berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi
biar pun abang sudah tiada lagi di dunia
Abang pada tahun 2007.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa
semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat
abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak,
tercungap-cungap menarik nafas.
Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan
minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai.
Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak
suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan
tangisnya.
Pukul
3.00 petang, abang makin lesu. Lantas
mak ajak abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita
satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi
abang hanya minum seteguk. Kemudian,
abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak
sinar matahari tu? Cantikkan?"
Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang
kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.
Abang angkat kepala melihat ke arah matahari
itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan
kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.
Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.
"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak
terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah
makanan di atas meja."
Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!
Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang
terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!"
Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara
abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas
dahi abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang
pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk
abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!"
Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam
mata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil
kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi
abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari
bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan
tangisan kamu!"
Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu
abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih
sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir
sakaratulmaut menjemput abang.
Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk
meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah
menahan suara tangisannya.
Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh
jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak
tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga
air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan..
pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat,
genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana
ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang:
"Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti
jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
"Abang, sekarang mak dah dapat jawapanya. Mengapa
mak tidak menangis?".
Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga
yang akan membantu mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah
mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.
Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak
langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.
Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya,
sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.
Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat
anak seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran,
kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya
pengetahuan.
Mak telah beri segala-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak
telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab
itu mak tak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan
kosong tanpa abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat
terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan,
anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu
akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap,
jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri
pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua
bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati'
apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan
hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini
mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah
dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).
--------------------------------------
Ya,
aku mengaku aku tidak dapat menahan tangis selepas membaca kisah ini.Ya Rahman,
tempatkanlah roh kanak-kanak ini di antara hamba-hambaMu yang soleh. Semoga
keluarga anak kecil ini terus tabah menjalani hari-hari tanpa kekasih hatinya
itu.
fakta@auta
Hanya
terdapat empat buah negara di dunia bermula dengan abjad D
iaitu Denmark, Dominica, Djibouti, dan Republik Dominica.
by : annadelunaa
with : Mr.Google